By: Maya Karin Fans

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  [1]  2  3  4  5  6  7  8  >  >>]    [Archive]
Monday, 21-Aug-2006 18:38 Email | Share | | Bookmark
My Pontianak!

 
pictures by lifethrumylens.com


Friday, 21-Jul-2006 12:00 Email | Share | | Bookmark
Saya tak dating dengan suami orang ;)

 
cinta? belum lagilah
“SAYA berjanji kepada peminat bahawa saya tak akan keluar dating dengan suami orang sebab saya tidak mahu jadi isteri kedua,” begitulah luahan pelakon dan penyanyi jelita Maya Karin berhubung gosip perkahwinannya dengan suami orang.

“Saya tak akan sorok-sorok kalau saya sudah berkahwin. Macam saya tak ada harga diri, buat apa nak sorok-sorok. Yang peliknya... bayangkan kalau saya kahwin sorok-sorok sampai bila saya nak sorok,” kata pelakon itu yang dipanggil pontianak paling jelita abad ini.

Maya mengakui dia sedikit kecewa dengan situasi yang dialaminya kini.

“Orang buat cerita tanpa bukti dan masih meneruskan cerita itu. Mana mungkin terjadi perkara tersebut. Pada saya ia tidak akan terjadi kerana saya tak mahu berkahwin dengan suami orang sebab saya tidak mahu hidup bermadu. Saya sendiri tak ada jawapan kenapa dan mengapa gosip itu timbul,” jelasnya.

Kata Maya, mana mungkin dia sudah berkahwin kerana dia baru saja selesai menjalani penggambaran filem Jari Hantu arahan Shuhaimi Baba.

Bukan itu sahaja, Maya dijangka memulakan penggambaran filem baru, Anak Halal, terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. yang diarahkan oleh Osman Ali pada Ogos depan.

Ketika dihubungi Mega, Maya, 27, sedang sibuk menjalani rakaman iklan dua produk baru di Shah Alam.

Kata Maya, gosip tersebut juga memberi impak negatif kepada dirinya. Beliau berharap peminat dapat membuat penilaian terlebih dahulu sebelum mempercayai gosip yang tidak berasas itu.

“Saya harap peminat percaya dengan apa yang saya cakap dan tidak akan buat penilaian tanpa melihat bukti,” katanya yang mengetahui gosip tentang dirinya melalui Internet.

Kahwin

Ditanya mengenai perkahwinan, sambil ketawa Maya berkata, “Bila-bila masa pun saya sudah bersedia untuk berkahwin. Sebab dari dahulu lagi saya memang sudah ada keinginan untuk berkahwin, mempunyai anak-anak dan keluarga sendiri.

“Saya sukakan kanak-kanak dan tak kisah berkahwin pada usia muda.”

Menyentuh mengenai calon suaminya, kata Maya, “Saya sukakan seorang yang kelakar, bijak dan menghormati orang lain.”

Pastinya ramai mengetahui bahawa Maya sebelum ini merupakan seorang penyanyi di bawah naungan syarikat rakaman Metrowealth.

Kontraknya bersama syarikat tersebut telah tamat Januari lalu. Ditanya tidakkah dia mahu meneruskan kontrak itu, Maya memberitahu, “Saya nak berdikari dan cari rezeki untuk diri sendiri. Pada waktu kelapangan kami masih berhubung bertanya khabar. Tiada masalah antara saya dan Metrowealth.”

Malah, kata Maya, jika dalam sehari dia mempunyai 40 jam, barulah impiannya untuk merakamkan album tercapai.

“Saya bekerja tanpa henti dan saya sentiasa sibuk dengan penggambaran filem. Saya memang ingin merakamkan album tetapi saya tiada masa,” katanya yang mengakui mendapat tawaran merakamkan album daripada beberapa syarikat rakaman.


Wednesday, 21-Jun-2006 12:00 Email | Share | | Bookmark
Jari Hantu Pula

 
pelancaran lagu & laman web PHSM II
Pelakon Terbaik Filem Seram
SERONOK bertemu dengan aktres cantik Maya Karin. Apatah lagi pemilik sepasang mata galak yang mengkhayalkan itu punyai banyak cerita untuk dibualkan. Tentang Hollywood, filem dan album baru. Tidak ketinggalan gosip terbaru yang kembali menerjah.

Di sebalik itu, Maya menggambarkan kehidupannya sebagai terisi lewat pelbagai rencana terbaru itu.

“Tuhan sangat baik kepada saya selama ini, saya berasa sangat beruntung. Kehidupan saya sangat seimbang antara kerjaya dan kehidupan peribadi, itu yang lebih membahagiakan,” akui wanita kacukan Melayu Jerman itu.

* Pengalaman bermakna di Hollywood

KECERIAAN masih tergambar pada wajah Maya tatkala dia bercerita tentang pengalaman manisnya di Hollywood baru-baru ini. VJ Channel [V] itu menghabiskan masa seminggu di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk program Oscars Road to the Red Carpet yang tersiar secara langsung di Star Movies setengah jam sebelum Anugerah Academy ke-78 berlangsung. Pengalaman yang pertama itu memang mendebarkan akui Maya.

“Barangkali apa yang mendebarkan adalah hakikat bahawa program itu ditonton lebih 80 juta penonton di seluruh dunia. Bimbang tersilap cakap ke apa. Saya bawa harapan media Asia termasuk Star World sendiri yang sudi memilih saya, jadi saya pikul tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik.

“Tetapi semuanya kelihatan berpuas hati termasuk Star World sendiri kerana kami berjaya menemu bual banyak selebriti di sebalik keriuhan karpet merah itu,” beritahu Maya.

Sememangnya bukan mudah untuk memujuk bintang ternama Hollywood yang melangkah di karpet merah itu untuk ditemu bual. Apatah lagi dengan ribuan wakil media dari seluruh dunia yang beratur sepanjang karpet merah tersebut.

Maya dan pasangannya pelakon Hong Kong, Terence Yin bagaimanapun berpeluang menemu bual bintang terkenal seperti Matt Dillon, George Clooney, Keira Knightley, Jessica Alba dan Ang Lee.

“Ia benar-benar menguji kemampuan anda kerana anda perlu melakukan yang terbaik untuk memujuk bintang tersebut untuk ditemu bual. Anda perlu bijak membawa diri dan membuat penampilan,” kata Maya.

Star World barangkali tidak salah memilih Maya kerana siapa pun tidak dapat menafikan pesonanya walaupun di tengah ribuan khalayak.

Sepanjang tempoh tersebut Maya juga berpeluang menghadiri banyak parti pasca Oscar yang diadakan di sekitar Los Angeles dan ketika itu juga dia berpeluang bertemu banyak orang terkenal Hollywood.

“Pengalaman lebih berharga adalah berpeluang mengenali komuniti Hollywood. Los Angeles sangat meriah ketika Anugerah Academy berlangsung, ia seolah-olah seperti pesta dan semua terkena demam Oscar,” tambah Maya.

Seperti yang dirancang iaitu mengintai peluang berlakon di Hollywood, Maya juga tidak melepaskan peluang berkenalan dengan beberapa ejen dan penerbit di Hollywood.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang di Los Angeles kerana ia melibatkan pelbagai pihak dan ejen selalunya memainkan peranan. Tetapi saya berpeluang juga berkenalan dengan beberapa ejen.

“Apa yang perlu saya lakukan selepas ini adalah menyediakan portfolio saya dan lihat jika mereka berminat atau tidak.’’

Dengan langkah tersebut, Maya mengibaratkan dia sudah meletakkan sebelah kakinya di situ dan kini menanti tuah menyebelahinya.

Tentu saja seperti kebanyakan artis lain, Maya juga menaruh harapan untuk berlakon di Hollywood dan berjalan di karpet merah itu sebagai bintang.

“Jika ada peluang saya akan ambil. Tetapi itu tidak bermakna saya akan tinggalkan Malaysia. Saya suka menetap di sini dan saya tidak dapat bayangkan kehidupan di tempat yang penuh glamor seperti Hollywood itu.

“Saya ni kan seorang yang lebih suka low profile dan sederhana saja. Sepanjang di Hollywood saya berpeluang melihat bagaimana komuniti di situ menjalani kehidupan yang penuh glamor dan mewah. Tidak mungkin saya sesuai dengan hidup seperti itu. Lagipun saya sukakan Malaysia,” luahnya.

* Dari puntianak ke Jari Hantu



WALAUPUN kelihatan agak kompeten dengan komitmen sebagai VJ Channel [V] namun ia tidak bererti Maya akan mengetepikan karier yang lain terutama lakonan. April dan Mei, Maya akan kembali ke lokasi filem terbarunya iaitu Jari Hantu.

Jari Hantu adalah filem terbaru pengarah Pontianak Harum Sundal Malam dan sequel Pontianak Harum Sundal Malam 2, Shuhaimi Baba.

“Namanya saja Jari Hantu tetapi ia bukan filem seram atau hantu,” kata Maya.

Kembali berlakon di bawah Shuhaimi, ia tentu membawa andaian ramai bahawa aktres itu kini menjadi ‘anak emas’ pengarah terkenal itu.

“Saya tahu isu itu akan timbul tetapi terus terang sukar untuk saya menolak tawaran Shuhaimi kerana ia tiba pada masa yang betul. Bukannya saya tidak mendapat tawaran lain tetapi selalunya bercanggah dengan jadual kerja yang sedia ada. Kebetulan April dan Mei ini saya kosong,” kata Maya yang mengakui menjadi pelakon utama untuk filem tersebut.

Maya memberitahu bahawa dia sebenarnya tidak akan sesekali mengikat pembabitan lakonannya dengan pengarah tertentu saja. Walaupun kini mengakui bersikap agak selektif kerana berhati-hati bukan terlalu memilih kata Maya, dia senantiasa terbuka untuk menerima tawaran lain jika bersesuaian.

“Saya pernah buat silap dulu dan kini saya tidak berharap untuk mengulang kesilapan yang sama,” tambah Maya yang juga rindu untuk berlakon dalam filem cinta.

“Saya teringin sebenarnya untuk berlakon dalam filem bertemakan cinta. Jika ada peluang tentu saya akan ambil,” kata Maya. Tahun 2006 ini juga, Maya berazam untuk melakukan comeback dalam karier nyanyiannya.

“Setakat ini saya dalam proses perbincangan dengan syarikat rakaman terbaru. Jika ada peluang insya-Allah sebelum hujung tahun ini saya akan hasilkan album terbaru. Sebelum ini mungkin saya akan keluarkan single dahulu untuk cari pasaran,” jelasnya.

Maya pernah menghasilkan dua album ketika bernaung dengan syarikat rakaman MIG Records dan memandangkan kontraknya dengan syarikat itu tamat beberapa bulan lepas, dia kini bebas mengembangkan sayapnya.

Maya juga menaruh harapan agar kariernya dalam dunia nyanyian itu kelak membawa lebih banyak tuah. Selain itu Maya juga sibuk sebagai hos program televisyen Ratu Sehari yang kembali ke Astro Ria bagi musim kedua.

lVIP? Mungkin tidak!

MAYA tenang ketika diminta komen tentang gosip terbaru yang mengaitkan dirinya dengan VVIP. Dia menggambarkan gosip itu sebagai tidak masuk akal.



“Ia memang mengejutkan bagaimana satu pertemuan yang rasmi boleh menghasilkan cerita-cerita karut seperti ini. Saya selalu berhati-hati dalam soal ini dengan menjaga pergaulan saya tetapi hal sebegini berlaku juga dan ia di luar kawalan,” keluh Maya dalam nada sedikit kesal.

Apa pun, dia masih tidak gentar jika gosip seperti itu bakal merobek reputasinya sebagai artis yang bersih.

“Saya tidak takut sebenarnya kerana saya tahu gosip itu tidak betul. Tidak ada apa yang perlu saya risau.

“Jika ada yang ingin terus mengorek cerita yang karut itu koreklah. Mereka tidak akan menemui apa-apa,” jelasnya penuh ketegasan. Dalam soal peribadi termasuk cinta, Maya memberitahu bahawa dia seorang yang realis.

Berpegang kepada kenyataan, itu jawapan kepada pencarian cinta Maya. Jiwanya tidak mungkin cocok untuk bercinta atau memilih pasangan hidup daripada kelompok orang terkenal atau ternama baik VIP atau VVIP.

“Tidak mungkin saya memilih kelompok seperti itu sebagai pasangan hidup saya. Saya tahu bagaimana cara kehidupan mereka dan tidak mungkin saya boleh hidup dalam suasana penuh perhatian seperti itu.

“Terus terang saya seorang yang low profile dan sederhana jika terlalu banyak perhatian ia akan merimaskan,” luahnya.

Dalam soal cinta, Maya tetap mengakui bahawa dia kini memang berpacaran dengan seseorang tetapi belum bersedia untuk mengumumkan siapa si dia yang bertuah itu.

“Saya cuma akan umumkan siapa dia bila semuanya sudah pasti. Sekarang malulah, baru saja berkawan lainlah kalau sudah bertunang ke,” katanya.

Lagipun kata Maya, hubungan itu masih dalam fasa kenal-mengenal dan memahami hati budi masing-masing. Sebagai seorang yang realis, Maya juga menetapkan jangka masa dua atau tiga tahun untuk dia mengenali dengan mendalam pasangannya.



“Saya seorang yang romantis dan percaya bahawa ikatan perkahwinan itu harus kekal sampai mati. Oleh sebab itu, penting untuk saya mencari orang yang betul-betul sesuai dengan jiwa dan memahami saya.

“Saya tidak mahu berkahwin setahun dua kemudian bercerai. Saya juga tidak mahu berkahwin kerana orang menginginkan saya berkahwin. Wedding of the Year? Yang pasti ia belum milik saya lagi,” katanya menutup pertemuan singkat itu.


Sunday, 21-May-2006 18:53 Email | Share | | Bookmark
Intai Peluang di Hollywood

 
pengacara Road to the Red Carpet Academy Awards
 
SIAPA yang tidak gembira jika berpeluang menjejaki Hollywood apatah lagi apabila berpeluang bersua muka dengan bintang masyhur di situ. Aktres terkenal seperti Maya Karin pun akan teruja. Bukan sekadar omongan kosong sebaliknya satu kenyataan buat Maya kini.

Kelak dia diterbangkan oleh Star TV ke Los Angeles untuk bertemu bintang ternama di situ tatkala semuanya berkumpul bagi acara berprestij bergelar Anugerah Academy.

Sebagai VJ Channel V, Maya terpilih ke Hollywood bagi menjayakan program Road To The Red Carpet yang akan ke udara secara langsung di Star Movies.

Tugasan terbaru itu sungguh bermakna buat dirinya, kata Maya, walaupun langkahnya ke situ adalah sebagai hos dan bukan aktres.

Apatah lagi itu kali pertama pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu menjejakkan kaki ke Hollywood.

Maya juga mendahului keterujaannya menjayakan tugasan itu dengan melakukan pelbagai rujukan tentang Oscar termasuk filem yang tercalon. Itu termasuk menilik siapakah yang bakal ditemuinya di karpet merah tersebut.

“Ia tugasan biasa sebagai hos, saya perlu tahu siapa yang bakal saya temui kelak. Tentu saja saya tidak boleh bertanya soalan yang membodohkan diri sendiri.

“Saya sudah menonton semua filem yang dicalonkan dan kini bersedia untuk menemui mereka,” katanya yang turut meramalkan kejayaan besar untuk Brokeback Mountain.

Di Hollywood, Maya menyimpan hasrat untuk mendekati bintang terkenal seperti pengarah Brokeback Mountain, Ang Lee dan Datuk Michelle Yeoh.

“Saya tertarik dengan Ang Lee sebagai orang Asia iaitu Taiwan dapat menembusi pasaran Hollywood. Saya berbesar hati jika berpeluang bertemu dengan pengarah tersebut,” katanya yang akan berangkat ke Los Angeles pada 27 Februari ini.

Tidak ketinggalan kata Maya, dia berkeinginan bertemu dengan idolanya, Julia Roberts dan Jennifer Aniston.

“Sebenarnya saya teringin sangat untuk bertemu Brad Pitt dan Angelina Jolie tetapi memandangkan Jennifer Aniston turut hadir tidak mungkin mereka akan berada di situ. Mungkin saya boleh bertanyakan sesuatu kepada Jennifer,” harap Maya.

Tahun ini untuk Anugerah Academy selain daripada Jennifer antara bintang yang akan menjadi penyampai Oscar adalah Hilary Swank, Tom Hanks, Sandra Bullock, Jamie Foxx, Morgan Freeman, Jessica Alba, Owen dan Luke Wilson.

Sebagai persediaan kata Maya, dia juga turut mendapatkan maklumat terkini tentang dunia fesyen di majalah dan internet.

“Itu yang paling penting kerana namanya pun saya akan berada di karpet merah,” kata Maya.

Apa yang lebih menarik, kata Maya, dia akan menjadi hos program tersebut bersama hos Star Movies, Opening Nights, Terence Yin dari Hong Kong. Sebelum terbang ke Los Angeles, Maya terlebih dahulu membuat promosi bersama Terence di Hong Kong.

Diibaratkan sambil menyelam minum air, misi Maya ke Hollywood bukan sekadar menjadi hos bagi program tersebut.

Sebaliknya selama seminggu berada di sana dia juga akan mengintai peluang berlakon.

“Keutamaan saya memang untuk menjayakan program itu dan jika mempunyai masa saya akan berusaha mengenal pasti peluang ke situ.

“Itu termasuk bagaimana cara mendapatkan ejen, apakah yang perlu saya lakukan dan membuat portfolio,” jelas Maya.

Sebagai seorang pelakon yang bercita-cita tinggi dan versatil, Maya juga menaruh harapan untuk mencipta nama di Hollywood. Ia bukan sesuatu yang mustahil kata Maya, melihat kepada kejayaan Ang Lee dan Michelle.

Walaupun bercita-cita memperkembangkan kerjayanya ke luar negara namun itu tidak bererti Maya akan melupakan filem tempatan. Dalam kesibukan itu, kelak Maya akan ke lokasi filem terbaru yang juga daripada Pesona Pictures yang dimiliki Shuhaimi Baba.

“Mungkin pada April nanti kalau tidak ada apa aral melintang,” katanya yang masih berahsia tentang tajuk filem itu.

Menjawab persoalan tentang sikapnya yang agak selektif dalam memilih tawaran berlakon sejak kebelakangan ini, kata Maya, ia terdorong daripada sikapnya yang berhati-hati dan bukan demand.

“Saya lebih berhati-hati. Saya sangat pentingkan skrip dan senantiasa berharapkan skrip yang kuat,” komen Maya yang membayangkan kematangannya kini.

Memberitahu tentang perkembangannya dalam bidang nyanyian pula, kata Maya, dia tetap menaruh harapan untuk menjayakannya.

Walaupun kontraknya dengan syarikat rakaman MIG Records sudah berakhir Januari lepas, kata Maya dia akan berusaha mencari langkah baru.

Begitu juga kata Maya, dia tidak serik untuk membuat album dan menyanyi walaupun kerjayanya dalam bidang itu belum lagi menyerlah pada awalnya.

“Selewat-lewatnya akhir tahun ini saya akan melakukan comeback dalam bidang nyanyian,” janjinya.

*Jangan lupa saksikan aksi Maya Karin bergandingan dengan Terence Yin menjejaki bintang Hollywood di karpet merah dalam Road To The Red Carpet pada 6 Mac pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam secara langsung di saluran Star Movies.

Acara Anugerah Academy ke-78 akan ke udara pada pukul 8 pagi dan 8 malam.


Wednesday, 14-Sep-2005 00:00 Email | Share | | Bookmark
Be Malaynium

 
 
 


[<<  <  [1]  2  3  4  5  6  7  8  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net